PETALING JAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan inisiatif Pusingan Kerja Petugas Kaunter bagi memperkukuh kualiti perkhidmatan awam serta meningkatkan kecekapan penyampaian di kaunter perkhidmatan kerajaan.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata inisiatif ini akan melibatkan semua kementerian dan jabatan di bawahnya bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, mesra serta responsif terhadap keperluan rakyat.
“Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran petugas kaunter, memastikan kepelbagaian kemahiran kerja, serta memperkasa pengalaman pelanggan dengan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan mesra.
“Melalui pusingan kerja ini, petugas kaunter akan diberikan pendedahan kepada pelbagai aspek tugas di kaunter, membolehkan mereka menangani pelbagai pertanyaan dan urusan pelanggan dengan lebih efisien,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, pelaksanaan program ini merangkumi semua kementerian utama, termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia yang mempunyai peranan langsung dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Melalui program ini ujar beliau, petugas kaunter akan diberikan latihan berkala dan pemantauan berterusan bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Kerajaan yakin bahawa dengan pelaksanaan Pusingan Kerja Petugas Kaunter, perkhidmatan awam negara akan terus diperkukuh dan mampu memberikan pengalaman yang lebih baik kepada rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE