KOTA KINABALU – Ketua UMNO Tawau, Ghazalie Ansing menang saman sivil bagi menuntut ganti rugi libel terhadap bekas isterinya dan seorang lagi defendan berhubung satu kes fitnah dua tahun lalu.
Menerusi penghakiman di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada 20 Disember lalu, Ghazalie turut berjaya menuntut ganti rugi kerosakan teruk dan ganti rugi tauladan daripada kedua-dua defendan.
Bagaimanapun, nilai ketiga-tiga ganti rugi terbabit masih menunggu penilaian mahkamah.
Ghazalie, 42, selaku plaintif membuat tuntutan ganti rugi itu ke atas bekas isterinya, Joanna @ Karmila Kamin @ Jemirah, 45, selaku defendan pertama dan Farihanna Abdul Rahman, 37, selaku defendan kedua melalui satu saman fitnah yang difailkan pada 1 Jun 2023.
Kes sivil itu berkaitan penyebaran video memaparkan kenyataan kedua-dua defendan yang didakwa memfitnah Ghazalie bertindak kasar terhadap bekas isteri, selain tuduhan merogol pembantu isterinya.
Penyebaran video terbabit yang dimuat naik di laman sosial YouTube dan sebuah portal pada 7 dan 8 Mei 2023 didakwa telah menjejaskan reputasi, kredibiliti dan imej peribadinya selaku seorang pemimpin politik.
Berikutan itu, plaintif melalui peguamnya dari Tetuan Nurul Rafeeqa Advocates pada 17 Mei 2023 mengeluarkan surat tuntutan kepada kedua-dua defendan sebelum saman fitnah difailkan kira-kira dua minggu selepas itu.
Ketika prosiding penghakiman melalui Zoom di hadapan Hakim Marlina Ibrahim pada 20 Disember lalu, mahkamah turut memerintahkan bekas isteri Ghazalie dan defendan kedua membuat permohonan maaf secara terbuka di akhbar The Star, The New Strait Times dan Daily Express.
Selain itu, permohonan maaf terbuka itu juga perlu dikemukakan di akaun Facebook defendan pertama dan sabahbigmouth.wordpress.com dengan semua kos iklan ditanggung oleh defendan pertama.
Mahkamah turut membenarkan injunksi bagi menghalang defendan pertama sama ada oleh dirinya, pembantu atau ejennya atau sebaliknya daripada menyiarkan video atau menyebabkan ia diterbitkan atau menyumbang kepada penerbitan video terbabit.
Selain video, injunksi itu turut merangkumi larangan penerbitan sebarang perkataan, petikan atau gambar yang memfitnah plaintif di semua platform media.
Defendan juga diperintah membayar faedah penghakiman sebanyak lima peratus setahun daripada tarikh penghakiman sehingga ke tarikh penyelesaian penuh. – KOSMO! ONLINE