fbpx

‘Saya dah susukan Zara, Tok Ram punya hak bapa kandung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alyah mengakui sudah menjadi ibu susuan kepada anak angkatnya, Nur Izzara.

PETALING JAYA – Penyanyi Datin Alyah mengakui sudah menjadi ibu susuan kepada anak angkatnya, Nur Izzara.

Pengakuan tersebut dibuat pemilik nama lengkap Nor Hasliah Abu Hassan, 44, yang berharap tiada keraguan timbul mengenai hak anaknya dalam keluarga terutama membabitkan hubungan suaminya iaitu Datuk Ramli MS.

“Saya dah susukan Zara (nama panggilan Izzara). Jadi antara Zara dan Tok Ram (Ramli) mempunyai hak seperti bapa dan anak kandung.

“Harap selepas ini dapat memberi jawapan kepada pihak yang sering mesej saya berkenaan hal ibu susu,” katanya dalam hantaran Instagram.

Pelantun lagu Sesal Separuh Nyawa itu turut memaklumkan, Izzara ada pertalian darah memandangkan dia merupakan anak saudaranya sendiri.

“Zara dengan saya bukan orang lain, dia adalah anak saudara saya sendiri.

“Kami tak ambil Zara dari mana-mana kebajikan atau rumah anak yatim.

“Jadi minta maaf banyak-banyak kepada yang bertanya di mana saya ambil Zara dan bagaimana nak ambil anak angkat,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Alyah sempat menasihati ibu bapa yang ingin mengambil anak angkat kerana amanah tersebut merupakan tanggungjawab besar.

“Nasihat saya jangan ikut kata orang atau apa rasa hati kita mahu sebab yang kita jaga ini adalah jiwa dan nyawa.

“Besar tanggungjawab ini, tak mudah. Sebelum apa-apa keputusan dibuat, mohonlah pada Yang Maha Kuasa,” jelasnya.

Jun tahun lalu, penyanyi asal Johor Bahru itu mengumumkan dia dan suaminya mengambil Nur Izzara sebagai anak angkat.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 18 Mac 2013, namun belum dikurniakan cahaya mata.

Menerusi perkahwinan terdahulu Ramli mempunyai dua anak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI