PETALING JAYA – Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman melepaskan jawatan yang disandang beliau dalam pengurusan tertinggi institut pengajian tinggi itu berkuat kuasa semalam.
Mohd. Ekhwan dalam satu kenyataan berterima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir kerana memberi peluang kepadanya menerajui UKM bersama pengurusan utama hingga ke tahap sekarang.
“Saya mendoakan UKM terus cemerlang pada masa akan datang. Mohon kemaafan kepada semua pengurusan utama, pengurusan tertinggi dan warga UKM di atas segala salah dan khilaf saya sepanjang mengetuai universiti ini,” katanya.
Sementara itu, laman Facebook rasmi UKM turut menzahirkan sekalung penghargaan kepada Mohd. Ekhwan atas khidmat bakti dan jasa sepanjang menjalankan tugas sebagai Naib Canselor UKM bermula 1 Januari 2021 sehingga 2 Februari 2025. – KOSMO! ONLINE