PETALING JAYA – “Kenapa matikan watak Abang Azriel? Kan dah janji nak jaga ibu?.”
Itu antara komen penonton setia drama Curang Tanpa Niat, episod ke 25 apabila watak kanak-kanak dikenali sebagai Abang Azriel lakonan Qaiszerr Eshan, ditamatkan akibat lemas di dalam sebuah kolam renang.
Pada episod 24 slot mega drama itu di Astro Ria minggu lalu, para penonton berdebar-debar untuk mengetahui apa yang bakal berlaku kepada Azriel selepas dia dilihat terjatuh ke dalam kolam ketika ingin mengambil pelampung.
Situasi cemas tersebut berlaku ketika kanak-kanak itu ditinggalkan seorang diri oleh bapanya, Eshaal yang dilakonkan oleh Shukri Yahaya kerana sibuk mengejar ‘office wife’ (isteri pejabat), Astrid lakonan Sharifah Sakinah
Walaupun sekadar lakonan di dalam sebuah drama, rata-rata penonton menzahirkan kesedihan dengan pengakhiran hidup kanak-kanak tersebut, malah turut menyalahkan bapanya yang disifatkan tidak bertanggungjawab.
“Tak ‘pasal-pasal’ aku menangis seorang. Nasib laki tak ada dekat rumah,” kongsi @yana4407.
“Saya harap sangat ini semua mimpi,” ujar seorang penonton.
“Ini semua salah Eshaal!,” luah @Qistinasyahirah.
Dalam pada itu, ramai menyifatkan episod malam ini adalah yang paling beremosi terutama melibatkan babak kematian anak sulung dalam sesebuah keluarga.
“Episod malam ini, menitik air mata,” luah seorang pengguna Instagram.
“Luluh hati semua ibu-ibu malam ini,” kata Inara Seroja.
Drama popular arahan Eyra Rahman yang turut dibintangi oleh Mira Filzah, Fadlan Hazim, Fauzi Nawawi serta Evertts Gomes berjaya membawa penonton ke sebuah kecurangan, konflik rumah tangga dan kesetiaan dalam perkahwinan. – KOSMO! ONLINE