JAKARTA – Seorang isteri di Indonesia meluahkan rasa terkilan apabila suaminya yang disangka hilang ketika keluar berburu di hutan sebenarnya sedang ‘berseronok’ di Pulau Bali bersama wanita lain, lapor laman berita Insert Live kelmarin.
Jasinta Calista Tening Juan baru-baru ini memuat naik hantaran di Facebook yang meminta bantuan orang ramai untuk mencari suaminya yang hilang tanpa jejak.
Lelaki itu pada awalnya dikatakan pergi memburu haiwan di sebuah hutan di wilayah Kalimantan Timur sebelum mendakwa bahawa motosikal miliknya rosak.
Lelaki tersebut sempat menelefon seorang saudara Jasinta dan memberitahu situasi itu sebelum mereka terputus hubungan.
Bimbang mengenai keselamatan suaminya, Jasinta membuat laporan polis, menyebabkan usaha mencari dilakukan.
Dalam masa sama, dia memuat naik hantaran di Facebook bagi meminta bantuan orang ramai yang mungkin mempunyai maklumat mengenai lelaki itu.
“Adakah ayah (suami) sudah makan di sana? Adakah ayah berada dalam keadaan baik? Setidak-tidaknya tolong bertahan demi anak-anak kita ya,” kata salah satu hantaran Jasinta.
Bagaimanapun, beberapa minggu kemudian, Jasinta memuat naik sekeping gambar memaparkan suaminya bersantai di Pulau Bali bersama beberapa wanita lain.
Menurut Jasinta, suaminya ditemukan sedang bercuti di Bali dan berada dalam keadaan sihat.
“Jika anda berjaya menipu isteri, jangan menyangka bahawa dia bodoh. Jangan memaksa seorang isteri yang setia sampai ke satu tahap di mana dia tidak akan mempedulikan anda lagi,” kata Jasinta pada hantaran terakhirnya.
Suami Jasinta kini dilaporkan sudah pulang ke rumah dan mereka dikhabarkan akan menyelesaikan perkara tersebut mengikut undang-undang. – AGENSI