BANGKOK – Seorang lelaki di rantau Isan, wilayah Ubon Ratchathani membakar sebuah hospital kerana tertekan akibat kerugian 3 juta baht (RM400,000) dalam sindiket penipuan hartanah enam tahun lalu, lapor laman berita Thaiger semalam.
Kebakaran tersebut menyebabkan kerosakan bernilai 100 juta baht (RM13.2 juta) kepada hospital tersebut.
Dalam kejadian pada Jumaat lalu, seorang saksi memberitahu polis bahawa dia melihat seorang lelaki membawa bekas berisi minyak petrol di hospital tersebut.
Suspek kemudian menyalakan bekas itu lalu melemparnya ke arah sebuah katil kosong.
Api merebak dengan pantas, manakala tindakan beberapa kakitangan hospital yang cuba memadamkan api dihalang oleh suspek yang mengacukan pistol ke arah mereka.
Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta sebelum melanggar dua motosikal.
Dia cuba melarikan diri ke sebuah kawasan hutan sebelum akhirnya ditangkap polis.
Menurut polis, suspek mengaku bahawa perbuatan itu dilakukan kerana tertekan selepas menjadi mangsa penipuan sebuah skim hartanah yang menyebabkan dia kerugian sebanyak 3 juta baht.
Ujar lelaki itu, dia tidak menyasarkan sebarang lokasi atau individu tertentu, sebaliknya bertindak demikian kerana mahu mengurangkan tekanan dihadapi.
Polis mengesahkan bahawa suspek tidak mempunyai rekod masalah mental, justeru dia didakwa atas kesalahan cubaan membunuh, mencetuskan kebakaran pada harta benda awam dan memiliki senjata api tanpa permit.
Sementara itu, bangunan di Hospital Putera Mahkota Diraja Det Udom yang terbakar ditutup sementara, manakala pesakit dipindahkan ke hospital lain. – AGENSI