fbpx

K2

Kenal pasti tahap IQ pelajar guna teknologi AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
David optimis teknologi AI dapat meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran pelajar serta pendidik.

MELANGKAH ke era teknologi, institusi pendidikan kanak-kanak, Yelaoshr tampil dengan kemudahan Yelaoshr Classone SuperApp iaitu aplikasi yang dapat mengetahui tahap pengetahuan kanak-kanak.

Dikuasakan dengan kemampuan kecerdasan buatan (AI), evolusi itu secara tidak langsung menjadi pembaharuan ke arah dunia digital, sekali gus mencatat sejarah tersendiri pada sambutan ulang tahun Yelaoshr ke-20.

Menjalin kerjasama dengan Techies App Technologies Sdn. Bhd., Yelaoshr optimis dalam memberikan pendidikan terbaik kepada pelajar seiring dengan peralihan teknologi semasa.

Kerjasama itu menandakan peralihan strategik Yelaoshr ke arah mengintegrasikan teknologi canggih seperti AI, Realiti Terimbuh (AR), data raya dan Internet Benda (IoT) dalam rangka pendidikan mereka.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yelaoshr, Dr. David Yap, berkata, penyediaan kemudahan AI dalam aplikasi itu membolehkan pihaknya mengenal pasti tahap darjah kecerdasan (IQ) pelajar berdasarkan ujian yang dibuat.

“Kami sentiasa optimis dan agresif melakukan peningkatan terhadap kualiti pembelajaran dan pengajaran agar dapat bergerak selari dengan perkembangan semasa. Saya mula melihat ramai kanak-kanak menghadapi kesukaran dengan kaedah pengajaran tradisional, kehilangan minat untuk belajar dan merasa kecewa.

“Saya mahu menghidupkan semula rasa ingin tahu dan keyakinan mereka terhadap pelajaran. Teknologi AI digunakan bagi memahami tahap kemampuan dan kefahaman pelajar. Setelah mengetahui tahap IQ mereka, kami akan mencari kaedah pembelajaran dan pengajaran yang bersesuaian dengan mereka,” katanya kepada K-Tekno.

Majlis Menandatangani kerjasama antara Yelaoshr dan Techies App Technologies Sdn. Bhd. untuk pembangunan Yelaoshr Classone SuperApp.

Mengulas mengenai penggunaan AI, Yelaoshr memperuntukkan masa sekitar satu atau dua tahun bagi mendapatkan data analisis tahap kemahiran dan pengetahuan pelajar.

“AI ini perlu mengambil masa kerana teknologi masih baharu dalam kalangan pelajar. Jadi, kami memerlukan masa untuk mendapatkan maklumat pelajar agar dapat disesuaikan dengan teknik pembelajaran.

“Kami memang mempunyai data pelajar yang mana kita dapat tahu tahap pembelajaran dari segi membaca dan mengira, tetapi dengan adanya AI akan membantu data analisis lebih mudah dijana, sekali gus meningkatkan sistem pendidikan kami.

“AI juga dapat bantu kami untuk mengetahui silibus pembelajaran yang sesuai mengikut fahaman, usia dan tahap pengetahuan mereka. Kami juga melihat sistem AI sudah diterapkan di Amerika Syarikat dan Finland,” katanya.

Aplikasi tersebut turut bertujuan menganalisis personaliti, kemajuan dan kadar pembelajaran setiap kanak-kanak bagi merangka pelan pembelajaran yang paling sesuai sejajar dengan Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).

Tambahnya, kerjasama dengan Techies App Technologies selaras dengan misi untuk evolusi pembelajaran dan memperkasa pendidik serta pelajar.

“Dengan menerima pakai penyelesaian EduTech terkini, kami mempersiapkan komuniti untuk menghadapi cabaran dan peluang masa depan sambil menyumbang kepada beberapa Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

“Teknologi ini juga dapat meningkatkan bahan bacaan dibuat secara digital bagi menggalakkan amalan membaca dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar,” ujarnya.

Sementara itu, Yelaoshr meraikan ulang tahun ke-20 menerusi majlis makan malam gala yang menghimpunkan lebih 380 ahli dari 70 pusat di seluruh negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI