SUNGAI PETANI – “Kami risau kerana ayah tidak pernah hilang lama macam ini, saya sudah cuba hubungi ayah berpuluh kali tetapi gagal.”
Demikian kata Amirul Amin, 23, anak kepada kru bot nelayan, Mohd. Rosli Hassan, 49, yang dilaporkan hilang di laut sejak 26 Januari lalu.
Dua lagi yang dilaporkan hilang ialah tekong warga Thailand dikenali sebagai Aree Tomyang dan seorang kru tempatan, Zamri Harun, 37.
“Perbualan terakhir antara ayah dan ibu (Norazian Salleh, 47) adalah menerusi panggilan telefon iaitu pada malam 25 Januari lalu. Ayah beritahu dia akan berlayar pulang ke Perak dari Kuala Kedah.
“Sepatutnya ayah sampai keesokan paginya atau sehari selepas itu, namun ayah dan dua rakannya gagal dikesan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, pemilik bot, A. Rama Najr, 55, berkata, dia juga risau dengan keselamatan tiga nelayan tersebut selepas mereka tidak sampai di jeti di Kuala Kurau, Perak seperti dijadualkan.
“Mereka berlayar ke Kuala Kedah ditemani adik lelaki saya berusia untuk menghantar bot jenis C itu untuk dibaiki selepas mengalami kerosakan enjin dan beberapa bahagian lain.
“Selepas siap dibaiki adik saya pulang dengan kereta melalui jalan darat, manakala tiga nelayan itu pulang ke sini dengan bot berkenaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE