SEPANG – Penunggang uji pasukan Honda, Aleix Espargaro mengakui berpuas hati dengan prestasi jentera RC213V sepanjang sesi shakedown yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Walaupun berdepan pelbagai halangan dan cabaran, namun Espargaro masih mampu melakukan catatan masa ketiga terpantas 1 minit 58.103 saat (s), sekali gus memberi sedikit harapan buat pasukan itu.
Espargaro berkata, dia masih belum berhenti menguji jentera pasukan sejak sesi ujian rasmi di Barcelona November tahun lalu kerana menganggap mereka menggalas misi cukup penting menjelang Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.
“Sebenarnya, masa saya lebih banyak berada di atas jentera kerana masih menguji jentera sejak November tahun lalu. Sebelum ini kami melakukan ujian di Barcelona, selepas itu Thailand dan kemudiannya di sini.
“Memang jelas kami ada misi tersendiri dan masih banyak kerja perlu dilakukan. Kami akan menggunakan masa yang ada sebaik-baiknya bagi membantu pelumba-pelumba dalam pasukan utama Honda,” katanya.
Bagaimanapun, bekas pelumba Aprilia itu menjelaskan, dia tidak akan bersama pasukan menjelang sesi ujian rasmi di Sepang nanti, namun tidak menolak kemungkinan untuk menguji jentera di Portimao, Jerez dan Valencia.
“Jadual saya agak padat, jadi mungkin tidak akan bersama pasukan pada sesi ujian rasmi nanti. Saya tahu masih banyak komponen perlu diuji bagi meningkatkan kemampuan jentera,” ujar Espargaro. – AGENSI