fbpx

‘Ada yang mahu saya kalahkan Aina, Ernie’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMBALI berentap di pentas AJL, Hafiz mengakui diserbu komen-komen peminat yang memintanya mengalahkan finalis lain seperti Aina Abdul dan Ernie Zakri menjelang malam kemuncak 16 Februari nanti. – ISKANDAR ISHAK

SIAPA tidak kenal Hafiz Suip, bintang bersuara emas yang pernah menakluki hati jutaan peminat muzik tanah air.

Kehadiran semula penyanyi itu di pentas Anugerah Juara Lagu ke 39 pada 16 Februari nanti mencetuskan keterujaan, apatah lagi selepas beberapa tahun memperlahankan langkah seninya.

Bertanding menerusi lagu Terus Bersinar, pemilik nama sebenar Mohamad Hafiz Mohamad Suip itu enggan berpeluk tubuh sebaliknya menjanjikan persembahan luar biasa, lengkap dengan persiapan rapi dari aspek vokal dan teknikal.

Baginya, pertandingan seumpama AJL adalah medan terbaik untuk memperlihatkan kemampuan seni dan menyemarakkan kembali kerinduannya terhadap pentas berprestij itu.

“Harapan peminat sentiasa menjadi satu bentuk tekanan. Namun, saya anggap AJL ini medan untuk melawan diri sendiri, bukan sekadar bersaing dengan finalis lain.

“Perasaan seperti itu sebenarnya membantu saya mengurangkan rasa gemuruh. Saya kini sudah bersedia, baik dari segi mental mahupun fizikal,” katanya kepada HibGlam.

Paling penting fokus utama berusia 35 tahun itu, fokus utamanya adalah memastikan persembahan di pentas nanti berjalan lancar, termasuk aspek teknikal bersama pengarah muzik.

Harapan peminat

Sebagai pemegang dua trofi Juara Lagu menerusi Awan Nano (AJL 26) dan Bahagiamu Deritaku (AJL 28), nama Hafiz sememangnya sinonim dengan gelaran vokal terbaik.

Bahkan, ada peminat yang secara berani menyuarakan harapan agar pelantun lagu Ku Akui itu mampu memberikan saingan hebat kepada nama besar lain seperti Ernie Zakri dan Aina Abdul.

“Ada peminat yang mahu saya kalahkan Aina dan Ernie dari segi vokal. Mereka sangat ‘daring’, tapi saya terima perkara itu sebagai semangat untuk terus maju.

“Namun, ini semua sebahagian daripada kemeriahan AJL. Saya gembira melihat peminat saling menyokong artis kesayangan mereka.

“Bagi saya, pertandingan ini harus dianggap sebagai persaingan sihat. Janganlah sampai bermasam muka. Kesenian ini untuk dinikmati bersama,” ujarnya sambil tertawa.

Menjadi satu-satunya penyanyi lelaki yang meraih trofi Vokal Terbaik AJL sebanyak empat kali, Hafiz jelas sekali tidak pernah mengecewakan peminat dengan kehebatan vokalnya.

Bermula dengan Noktah Cinta (AJL25), Awan Nano (AJL26), Ku Akui (AJL27) hingga Kisah Cinta Kita (AJL34), setiap persembahannya di pentas AJL terus diingati sebagai ikonik.

Kali ini, Hafiz membawa taruhan baharu, Terus Bersinar, hasil ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito dengan lirik oleh Datuk Arisz Ab. Rahman.

AJL39 dijangka menjadi medan persaingan sengit antara Hafiz dan finalis hebat lain seperti (Ernie Zakri) menerusi Aura, (Aina Abdul) Puas Sudah dan Bukan Lagi Kita (Nadeera) bagi kategori Vokal Terbaik.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI