KUALA LUMPUR – “Program realiti sudah hilang tarikan.”
Demikian pandangan penyanyi Faizal Tahir yang melihat rancangan realiti pada hari ini tidak lagi mencetuskan fenomena seperti dahulu.
Menurut Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Muhammad Tahir, 46, peredaran masa serta perubahan teknologi menjadikan format program sedemikian kurang relevan dalam industri hiburan moden.
“Saya tak nak cakap program realiti sekarang sendu, tetapi secara jujurnya, saya sendiri kurang berminat menonton sebab konsepnya masih sama.
“Saya dah melalui pengalaman itu. Kalau masih ada (pertandingan realiti), biarlah punya kelainan. Kalau saya tengok dan rasa ‘wow, lain eh sekarang’, itu baru menarik. Tapi kalau sama saja, susah nak tarik minat.
“Dulu, YouTube tak macam sekarang. TikTok pun belum ada. Waktu itu, kalau nak tunjuk bakat, perlu hadir sesi uji bakat. Sekarang, semua orang boleh cipta platform sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah pelantun lagu Assalamualaikum itu, program realiti suatu ketika dahulu berjaya mencuri perhatian ramai kerana memberi peluang kepada penonton menentukan pemenang.
“Dulu orang suka sebab rasa terlibat dengan pemilihan artis. Mereka rasa berkuasa.
“Mereka boleh undi sesiapa yang mereka mahu dan sanggup berhabis beribu asalkan artis pilihan mereka menang. Itu antara sebab pertandingan realiti dulu meletup.
“Kalau saya nak betul-betul nak jawab hal ini, senang cakap itu hak masing-masing. Kalau memang ada duit nak buat program, buat sahajalah,” ujarnya ketika ditemui pada majlis Kenduri Pelancaran Album & Jamuan Makan Let Zapin: Jati Diri, di sini, semalam.
Dalam perkembangan lain, Faizal kini tampil dengan album baharu berjudul Jati Diri, hasil kerjasama bersama penerbit muda, Glowrush.
Mereka bergerak sebagai duo Let Zapin dengan konsep yang lebih segar.
Menariknya, pelancaran album kali ini mengetengahkan tema kenduri kendara dan rewang, bukan sekadar untuk acara, tetapi sebagai simbol budaya serta nilai perpaduan. — KOSMO! ONLINE