LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta memberi amaran kepada para pemainnya supaya memberikan fokus kepada diri mereka sendiri selepas kejayaan besar membelasah Manchester City 5-1 di Emirates awal pagi semalam.
The Gunners membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi Martin Odegaard sebelum Erling Haaland menyamakan kedudukan, namun mereka mempamerkan aksi luar biasa pada babak kedua dengan meledak empat lagi gol.
Thomas Partey, Lewis-Skelly, Kai Havertz dan Ethan Nwaneri turut mencetak nama sebagai penjaring, tetapi yang lebih mencuri tumpuan adalah cara para pemain Arsenal meraikan kemenangan apabila meniru gaya Haaland sebagai tanda memerli pemain itu.
Bagaimanapun, perkara itu tidak digemari Arteta yang mahu para pemainnya lebih fokus kepada matlamat utama memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.
“Saya tak tahu, saya tak nampak apa yang mereka lakukan dan saya tak berminat untuk membicarakan mengenai perkara itu. Kami perlu memberikan fokus kepada perkara yang lebih besar. Keutamaan ketika ini adalah diri kami sendiri dan biarkan perkara yang sudah berlalu,” kata Arteta.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Arteta mengakui bahawa jaringan Partey pada babak kedua adalah momen yang sangat penting buat Arsenal untuk menguasai perlawanan sebelum jaringan seterusnya berjaya dihasilkan dengan mudah.
“Saya fikir ia adalah detik penting (jaringan Partey). Kami memberikan reaksi dengan cepat walaupun nasib kurang baik dengan beberapa peluang sebelum itu. Gol itu adalah penting untuk semangat pasukan dan seluruh stadium untuk kami menang.
“Selepas itu, saya lihat kami sudah berada pada tahap yang berbeza, keyakinan mula meningkat, pemain mula mengawal permainan dengan lebih baik, menguasai beberapa bahagian dan bersemangat untuk memenangi perlawanan.
“Ia adalah hari yang hebat. Keputusan yang kami raih kali ini adalah sesuai dengan cara permainan yang kami tunjukkan,” jelasnya. – AGENSI