KUALA TERENGGANU – Pasangan suami isteri direman selama tujuh hari bermula semalam selepas dipercayai mendera anak lelaki berusia 10 tahun Khamis lalu.
Perintah reman itu dibenarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, suspek berusia 32 dan 27 tahun itu diberkas selepas pihaknya menerima aduan daripada ibu kandung mangsa pada 5.51 petang semalam.
Katanya, wanita itu yang mengambil anak lelakinya di rumah nenek mangsa pada 12.45 tengah hari, 30 Januari lalu mendapati ada kesan kecederaan di kaki kanak-kanak tersebut.
“Mangsa dalam jagaan bekas suami wanita itu dan isteri baharunya sejak 2020.
“Kanak-kanak itu mendakwa bapanya sering memukulnya dengan tali pinggang dan getah paip, manakala ibu tirinya pula memukulnya dengan penyangkut baju,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Azli memberitahu, mangsa mendakwa diberi layanan pilih kasih oleh isteri baharu bapanya dengan hanya diberi makan dua kali sehari berbanding adik tirinya.
Beliau berkata, ibu kandung mangsa yang kali terakhir bertemu anaknya pada musim cuti persekolahan pada bulan Disember tahun lalu tidak mengetahui kisah penderaan tersebut sebelum ini.
“Siasatan awal percaya perbuatan dera terhadap mangsa berlaku di rumah suami isteri itu di Kampung Beladau Kolam, Manir di sini.
“Mereka kini disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. – KOSMO! ONLINE