SHAH ALAM – Tumpahan minyak diesel akibat kemalangan lori di Sungai Bernam, Kampung Serigala, Behrang menyebabkan berlakunya gangguan sementara bekalan air selama lebih empat jam semalam.
Gangguan bermula pukul 1 tengah hari hingga 5.30 petang itu menjejaskan bekalan air mentah kepada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisik.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima laporan kejadianpukul 1 tengah hari itu yang berpotensi memberi kesan kepada LRA Sungai Selisek pada jarak 3.2 kilometer (km) dan LRA Bernam River Headwork (BRH) yang jauhnya 31.5 km.
Katanya, semakan di lokasi dan kawasan sekitar oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati sebuah lori yang belum dikenal pasti pemiliknya disyaki terbabas ke dalam Sungai Bernam.
“Kemalangan itu menyebabkan berlaku tumpahan minyak dari kenderaan sepanjang 100 meter (m) aliran ke dalam Sungai Bernam.
“Tumpahan itu turut menjejaskan bekalan air mentah kepada LRA Sungai Selisik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, LUAS segera mengaktifkan pemantauan statik di LRA BRH dan melaksanakan tindakan pencegahan awal dengan meletakkan oil boom di muka sauk LRA BRH.
Jelasnya, pemantauan rapi turut dibuat LUAS terhadap kerja pengalihan lori dan pembaikan tebing sungai yang selesai sepenuhnya lewat petang semalam.
“Pemerhatian lanjut di lokasi dan kawasan sekitarnya mendapati tiada lagi kesan minyak dan bau abnormal dikesan.
“Semakan bersama pihak Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) mendapati aliran air sungai di muka sauk LRA Sungai Selisik adalah normal,” katanya.
LUAS membuka kertas siasatan di bawah Enakmen LUAS 1999 bagi tindakan terhadap pihak terlibat. – KOSMO! ONLINE