JURULATIH Sri Pahang, Fandi Ahmad mengakui seperti tidak percaya apabila pasukan dapat menamatkan kemarau 11 tahun untuk mara ke pentas final Piala Malaysia dengan menyingkirkan Sabah FC 3-2 menerusi agregat kelmarin.
Pada aksi separuh akhir kedua itu, skuad Tok Gajah mempamerkan semangat juang tinggi untuk melakar kemenangan 2-1 selepas perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan.
Kata Fandi, aksi yang penuh disiplin terutama pada masa tambahan memberi motivasi terbaik buat pasukan untuk menamatkan penantian selepas kali terakhir mara ke pentas final Piala Malaysia pada edisi 2014.
“11 tahun merupakan tempoh yang sangat lama. Kemenangan ke atas Sabah adalah disebabkan sokongan padu daripada peminat selain bantuan barisan kejurulatihan serta semua pemain.
“Pujian wajar diberikan kepada barisan pemain kerana memberikan komitmen penuh untuk membawa Sri Pahang ke pentas akhir walaupun diberikan tentangan sengit daripada lawan.
“Secara jujur, ini adalah persembahan luar biasa yang dipamerkan walaupun pada awalnya kita tidak mahu aksi kedua ini dilanjutkan ke masa tambahan,” katanya.
Mengulas mengenai aksi di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh itu, Fandi mengakui pasukannya boleh menjaringkan tiga atau empat gol jika memanfaatkan peluang terhidang.
“Beberapa kesilapan yang dibuat menyebabkan jaringan tidak dapat dilakukan, tetapi kesungguhan dan kemahuan tinggi daripada semua pemain, kita dapat meraih gol pada masa tambahan,” katanya.
Gol-gol pasukan Sri Pahang dijaringkan oleh pertahanan Sabah FC, Park Tae-su yang tertampan bola ke gawang sendiri sebelum Kpah Sherman muncul wira dengan gol kemenangan pada masa tambahan.
Lebih menarik, final Piala Malaysia kali ini seperti aksi ulangan perlawanan akhir edisi 2014 apabila Sri Pahang sekali lagi bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada April depan.