KUALA LUMPUR – Malaysia akan meneliti bagi membuka penyertaan negara luar dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan sedang dipertimbang bagi penglibatan negara luar pada sidang berkenaan.
“Kita sedang mempertimbangkan untuk melibatkan negara lain termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah pada sidang kemuncak ini.
“Tetapi fokusnya kepada negara-negara ASEAN dan rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, hari ini.
Malaysia secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN 2025 pada 1 Januari lalu, kali kelima sejak penubuhan ASEAN pada 1967.
Malaysia sebelum ini pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. – KOSMO! ONLINE