PUTRAJAYA – Sebanyak 57 fasiliti kesihatan dilaporkan terjejas susulan kejadian banjir yang berlaku di Sabah dan Sarawak ketika ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 30 fasiliti kesihatan terjejas banjir di Sarawak dan daripada jumlah tersebut, sejumlah 22 fasiliti telah beroperasi semula.
“Bagi Sabah pula, secara keseluruhannya terdapat 27 fasiliti kesihatan yang terjejas banjir dan kesemua fasiliti tersebut telah beroperasi semula.
“Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak dan Sabah telah menggerakkan pasukan perubatan dan pasukan kesihatan masing- masing iaitu 37 pasukan perubatan dan 30 pasukan kesihatan dari JKN Sarawak.
“Ia turut melibatkan 16 pasukan perubatan dan 27 pasukan kesihatan dari JKN Sabah ke semua pusat pemindahan sementara (PPS) terlibat,” katanya hari ini.
KKM berkata, pada masa sama, 9,379 mangsa telah diperiksa dan diberikan rawatan di PPS.
“Daripada jumlah itu, kes penyakit berjangkit yang dilaporkan adalah 671 kes jangkitan salur pernafasan akut, 82 kes jangkitan kulit, 37 kes
gastroenteritis akut, 17 kes konjunktivitis serta satu kes penyakit tangan, kaki dan mulut.
“Tiada kes Chicken Pox, Tifoid, Leptospirosis, Covid-19 dan kejadian wabak dilaporkan di PPS,” katanya.
Selain itu, pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) juga telah digerakkan.
“Sehingga kini, tiada mangsa banjir yang dikesan mempunyai masalah kesihatan mental yang memerlukan rujukan ke hospital.
“KKM sentiasa bersiap sedia dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik bagi semua mangsa banjir yang melanda kedua-dua negeri ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE