fbpx

Aysar Zahran mahu jadi auditor di syarikat audit terbesar dunia – Pensyarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Garry (tengah) ketika ditemui di Masjid Al-Muttaqin, hari ini.

HULU LANGAT – Allahyarham Aysar Zahran Saiful Alimin yang maut dalam nahas enam kenderaan di Jalan Hulu Langat-Ampang, di sini semalam merupakan antara pelajar terbaik biasiswa MyPAC-Maybank Islamic Berhad di TYMBA Education.

Menurut Pensyarah TYMBA, Garry Danny, arwah merupakan seorang yang berdedikasi dan sentiasa meletakkan usaha yang tinggi sepanjang pengajian.

Katanya, kejayaan arwah mendapat tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di dunia bagi kertas pManagement Information 1 (MA1) dalam Asasi Perakaunan (FIA) pada Disember 2023 adalah kenangan paling bermakna untuknya sebagai tenaga pengajar.

“Saya yang ajar dia subjek itu. Jadi, bila dapat tahu (Aysar) menang, saya terus hubungi dia. Kita orang menjerit dalam telefon gembira dan esok bila jumpa kami peluk.

“Memang gembira sangat sebab kita pun tak jangka sebenarnya dia dapat markah tertinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Al-Muttaqin, di sini hari ini.

Mengulas mengenai peribadi Allahyarham, Garry berkata, arwah merupakan seorang yang peramah dan sentiasa ceria terutama dalam kalangan rakan-rakannya.

“Arwah ini dekat kelas memang ceria. Kalau nak cakap semua orang pun kenal dia dengan senyuman manisnya.

“Dia pernah berkongsi dengan saya bahawa dia bercita-cita untuk menjadi seorang auditor di syarikat audit terbesar di dunia dan dalam kalangan penerima biasiswa MyPAC, dia antara yang terbaik,” jelasnya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang pelajar perakaunan maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Hulu Langat-Ampang, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang, mangsa, Aysar Zahran, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala enam lagi penunggang termasuk pembonceng motosikal cedera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI