KUALA LUMPUR – Hanya mampu berputih mata, pelakon veteran Jalil Hamid reda apabila hasrat menunaikan ibadah haji tahun ini tidak kesampaian akibat masalah kesihatan.
Jalil, 67, berkata, dia menyimpan niat sejak 2008 untuk menerima panggilan daripada Tabung Haji, namun gagal memenuhi syarat kesihatan ditetapkan kerana masalah jantung yang dihadapinya.
“Jujurnya, saya kecewa sebab harapan mengerjakan haji terpaksa dilepaskan. Jantung belum pulih sepenuhnya dan syarat Tabung Haji tidak sesuai dengan keadaan saya.
“Kalau nak pergi buat haji, peratusan kesihatan jantung sekurang-kurangnya perlu melepasi 35 peratus, tapi jantung saya hanya capai tahap 24 peratus.
“Itu yang buat saya kecewa sebab sudah tunggu lama sejak 2008. Memang saya nak pergi sangat,” katanya kepada Kosmo! Online.
Meskipun tidak dapat turut serta, pelakon filem Bisik Pada Langit itu tetap bersyukur apabila isterinya diberikan peluang menunaikan ibadah haji.
“Tabung Haji tawarkan tempat untuk saya dan isteri. Walaupun saya tak dapat pergi, saya izinkan isteri mengerjakan haji sebab ini adalah jemputan Allah untuknya.
“Saya tak berupaya, biarlah dia yang pergi. Kalau tolak, rugi buatnya sebab tiada alasan untuk tidak pergi,” ujarnya ketika menjadi artis jemputan Anugerah Carta 114, semalam.
Berkongsi keadaan kesihatan, pelantun lagu Ayam itu mengakui masih boleh bekerja meskipun jantung belum sembuh sepenuhnya.
“Makin berusia, kita berdepan dengan banyak perkara, tapi alhamdulillah, kesihatan saya semakin pulih selepas tiga tahun.
“Kalau nak diikutkan, saya sudah mula rasa sihat. Sebab itulah saya boleh mula bekerja, tapi apabila diperiksa secara terperinci, jantung masih belum sembuh sepenuhnya.
“Saya tetap boleh buat kerja dan ada juga tawaran berlakon, terutama bila hampir Aidilfitri,” tuturnya.
Sebelum ini, Kosmo! pernah melaporkan Jalil tetap mahu berusaha mencari jalan untuk ke Tanah Suci sebelum membuat pengesahan pada 15 Januari.
Pun begitu, rezeki bukan miliknya apabila dia tidak dapat pergi kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan. – KOSMO! ONLINE