HULU TERENGGANU – Seramai 1,560 pegawai dan anggota polis Kontinjen Terengganu mengalami berat badan berlebihan dengan indeks jisim badan (BMI) melebihi 28 yang menjadi syarat kenaikan pangkat.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, ia merangkumi kira-kira 40 peratus daripada 3,900 pegawai dan anggota polis di kontinjen tersebut.
“Kita mengambil inisiatif menganjurkan program khas termasuk pelaksanaan aktiviti riadah bagi membantu pegawai dan anggota mempunyai BMI melebihi 28.
“Antara program dilaksanakan ialah kayuhan basikal, mendaki bukit dan joging,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu di sini hari ini.
Beliau menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Hulu Terengganu antara Superintenden Sharudin Abdul Wahab menggantikan Deputi Superitendan Zainul Mujahidin Mat Yudin.
Mengulas lanjut, Mohd. Khairi berharap inisiatif tersebut dapat membantu pegawai dan anggota polis terlibat mencapai berat badan ideal.
Beliau berkata, program menurunkan berat badan itu bukan semata-mata untuk menerima kenaikan pangkat, tetapi demi kesihatan pegawai dan anggota polis. – KOSMO! ONLINE