PETALING JAYA – Seorang lelaki warga Indonesia yang berperanan sebagai transporter telah ditahan pihak polis susulan siasatan insiden tembakan di Tanjung Rhu, Banting baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, lelaki tersebut didapati memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.
“Lelaki itu adalah individu yang bertanggungjawab membawa masuk dan keluar warga asing tanpa sebarang dokumen ke negara kita.
“Polis sudah menangkapnya dan berdasarkan siasatan awal menunjukkan dia ada terkait dengan bot yang menjadi sasaran dalam insiden membabitkan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) itu,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Bagaimanapun katanya, siasatan itu masih pada peringkat awal yang sedang dibuat untuk menentukan angka yang berkaitan.
Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mengambil alih siasatan kes itu berdasarkan siasatan dalaman ke atas anggota yang terlibat.
“Saya baru mengadakan pertemuan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. Kita bersetuju agar anggota disiasat direhatkan.
“Siasatan kini bukan dibawah Ibu Pejabat Polis Daerah Banting tapi diambil alih ibu pejabat (Bukit Aman). Ini memandangkan ada potensi untuk siasatan dibuka kepada seksyen yang lebih serius,” katanya. – KOSMO! ONLINE