KUALA LUMPUR – Ikon dunia penyiaran tanah air, Puan Sri Normala Samsudin, 56, bersedia sekiranya kemunculan semulanya dalam bidang pengacaraan mengundang kritikan netizen.
Sedar ranjau dunia media sosial yang semakin mencabar, isteri mantan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Azmi Khalid itu mengakui masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dalam bidang pengacaraan.
“Kritikan sentiasa ada, syarat kita sedar diri. Sewaktu saya baru bermula dahulu pun banyak buat salah dari segi sebutan dan sebagainya. Setiap hari ialah proses pembelajaran. Saya ambil masa lama untuk berada pada tahap sekarang.
“Saya bukan tiba-tiba jadi Normala Samsudin. Nasihat saya buat adik-adik yang baru ingin menjinakkan diri dalam penyiaran atau pengacaraan, bersabar dan belajar daripada kesilapan. Insya-Allah,” katanya kepada Kosmo! Online.
Normala ditemui pada sidang akhbar program realiti Ratu Hijabista yang menyaksikan beliau menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap. Program dengan kerjasama Nu Ideaktiv berkenaan akan menemui penonton Astro Prima.
Normala menyifatkan kemunculan semula ini sebagai tanggungjawab orang lama sepertinya menabur bakti untuk industri bagi mencungkil bakat baharu bidang pengacaraan.
“Sebaik terima tawaran sebagai juri tetap, saya berbincang dengan suami untuk mendapatkan pandangannya tetapi suami terus bagi lampu hijau untuk saya membabitkan diri.
“Sebagai juri tetap, saya umpama seorang ibu. Para peserta dalam program ini seperti bayi. Saya sedia membantu apa yang termampu,” ujarnya.
Selain Normala, program Ratu Hijabista menampilkan gandingan Uyaina Arshad dan Fikry Ibrahim sebagai pengacara yang disertai 12 peserta berusia antara 21 hingga 30 tahun. – K! ONLINE