fbpx

Dulu tiga jam, kini tempoh menunggu klinik kerajaan 30 minit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) terus melaksanakan transformasi dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat apabila berjaya mengurangkan tempoh menunggu dari tiga jam kepada 30 minit di klinik kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pencapaian itu dicapai KKM menerusi pelaksanaan agenda transformasi digital kesihatan.

“Kita sudah mendigitalisasikan perkhidmatan utama di mana mengurangkan waktu menunggu di klinik penjagaan primer utama dari tiga jam kepada hanya 30 minit.

“Daripada 107 klinik antara 2007 hingga 2022 kepada 159 klinik pada 2024.

“Awal tahun ini sahaja, ia meningkat sebanyak 48.6 peratus dan 2025 adalah tahun pelaksanaan.

“Ini ialah untuk tunaikan apa yang dijanjikan sebelum ini,” katanya menerusi hantaran di platform X semalam.

Pada sidang Dewan Rakyat tahun lalu, Dr. Dzulkefly berkata, KKM menyasarkan melaksanakan transformasi digital kesihatan di setiap fasiliti kesihatan seluruh negara dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

Katanya, pelaksanaan transformasi menerusi strategi ‘satu individu satu rekod’ itu akan dimulakan dengan penggunaan rekod perubatan elektronik (EMR) di setiap fasiliti kesihatan yang terlibat.

Untuk itu, jelasnya pendekatan yang diambil berteraskan strategi ‘reform, relook, recalibrate dan realize’, merangkumi aktiviti konsolidasi unit digital di KKM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI