PETALING JAYA – “Allahuakbar, diberi peluang lagi untuk jumpa sahabat (insan istimewa). Puas pujuk untuk bersihkan diri, makan dan bersiap semula seperti normal.”
Itu perkongsian individu bermurah hati secara sukarela memujuk dan membantu sahabatnya dikenali sebagai Shukor yang kelihatan tidak terurus untuk membersihkan diri serta memberinya makan.
Menerusi perkongsian video media sosial Shidie Motor, jelas memaparkan dia tidak tidak kekok membantu ‘menyental’ badan serta kaki lelaki itu, memberi pakaian baharu dan membawanya ke kedai gunting rambut.
“Amat sedih apa yang terjadi pada kau dan kehidupan kau. Nescaya kau bukan tak waras dan kau masih waras, cuma nasib serta ujian kita berbeza.
“Semoga kita terus istiqamah, diberkati dalam setiap langkah dalam kehidupan kita. Maafkan aku Shukor, aku tak mampu urus segalanya,” katanya pada hantaran tersebut.
Perkongsiannya itu meraih pelbagai respons orang ramai yang rata-rata memuji tindakannya Shidi yang dikatakan wajar untuk dicontohi.
“Abang Shidi bukan setakat dapat pahala dekat dia, malah pada semua penonton. Semoga kita semua jadi orang baik dan hidup dalam aura positif,” ujar Ridhuan Karim.
“Jangan berhenti buat baik wahai orang baik,” komen seorang pengguna.
“Sebak aku tengok video ni. Hang la hero bagi aku. Setengah orang bila jumpa orang macam saudara kita ni lari, jauhkan diri apatah lagi nak mandi dan sabunkan dia. Shidie Mat Arash. Terbaik ikon anak muda Perlis,” puji Angah Rozalei. – KOSMO! ONLINE