fbpx

Lelaki hilang di Gunung Yong Yap dijumpai dalam kebun getah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ilhami yang dilaporkan hilang di Gunung Yong Yap semalam dijumpai selamat dalam kebun getah di Kuala Mu, Sungai Siput hari ini. - Foto IHSAN JBPM

SUNGAI SIPUT – Seorang pendaki yang dilaporkan hilang di Gunung Yong Yap di sini semalam, ditemukan selamat di kawasan kebun getah di Kuala Mu pada pukul 10 pagi tadi.

Mangsa, Ilhami Mohd. Idris, 22, ditemukan oleh orang awam selepas 16 jam dilaporkan hilang ketika bersama 15 pendaki lain menuruni Kem Site Sungai Chinak.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 11.42 malam.

Katanya, sepasukan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput bersama jentera dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

“Berdasarkan maklumat, seorang lelaki hilang semasa menyertai pendakian Gunung Yong Yap melalui jalan Pos Kuala Mu. Ketua pendaki memaklumkan mangsa disedari hilang semasa membuat pemeriksaan selepas menuruni bukit di Kem Site Sungai Chinak pada pukul 6 petang.

“Pasukan pendaki bersama lima malim gunung telah membuat pencarian hingga ke puncak Gunung Yong Yap namun masih gagal menemui mangsa,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi mencari mangsa dimulakan pada pukul 7.30 pagi tadi bersama agensi penyelamat lain, namun mangsa berjaya dijumpai oleh orang awam dan dibawa kepada pihak bomba pukul 10.26 pagi.

Untuk rekod, Gunung Yong Yap yang terletak bersempadan antara Perak dan Kelantan itu mempunyai ketinggian 2,167 meter dan merupakan antara tujuh gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia atau dikenali sebagai G7 dalam kalangan pendaki. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI