fbpx

Pertuduhan tidak cacat, bicara kes Zayn Rayyan mula 2 petang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaim Ikhwan dan Ismanira ketika hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini. - Foto oleh ISKANDAR ISHAK / KOSMO!

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak bantahan awal pihak pembelaan berhubung pertuduhan pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang didakwa mengabaikan anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin yang didakwa cacat dan tidak dirangka mengikut undang-undang.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak hari ini.

Justeru dengan keputusan itu, perbicaraan kes dengan saksi pendakwaan pertama akan memberi keterangan bermula pukul 2 petang ini.

“Mahkamah setelah meneliti bantahan awal hujahan dikemukan pihak pendakwaan dan pembelaan mahkamah ini mendapati pertuduhan dalam kes ini adalah mengikut undang-undang yang diperuntukkan tidak defektif.

“Tiada ada unsur dalam pertuduhan yang menunjukkan bahawa tertuduh dinafikan pembelaan yang sewajarnya. Oleh itu bantahan awal pembelaan ditolak dan kes ditetapkan bicara pada pukul 2 petang,” kata Hakim Syahliza.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum in, pihak pembelaan telah memfailkan notis usul bagi membatalkan pertuduhan yang dihadapi sekaligus memohon dilepas dan dibebaskan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI