fbpx

Penganggur tumbuk nenek dipenjara sebulan, denda RM3,800

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsul Atin dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor, hari ini. -- Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED / KOSMO!

KUALA SELANGOR – Perbuatan seorang penganggur menceroboh rumah dan menumbuk wanita warga emas, minggu lalu menerima padah apabila dipenjara sebulan dan denda RM3,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Siti Hajar Ali menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Shamsul Atin, 34, mengaku bersalah atas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Shamsul juga diperintahkan tambahan penjara keseluruhan selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda itu

Tertuduh yang masih bujang dan berpakaian lokap ungu turut mengakui semua fakta kes dikemukakan pihak pendakwaan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Shamsul didakwa dengan sengaja melakukan pencerobohan jenayah ke atas rumah Kamsiah Sharif, 73.

Dia juga didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap wanita itu dengan menumbuk mata kiri dan mulut kiri mangsa menggunakan tangan. Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Pasir Tuntong, Bukit Rotan di sini, kira-kira pukul 3 petang, 28 Januari lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya
Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kecederaan dan kesan trauma dialami mangsa.

Peguam Khairul Hazwan Rashid Mohd. Redduan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBG) merayu hukuman diringankan kerana Shamsul mempunyai tanggungan ibunya yang uzur dan menyesali perbuatannya itu.

Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh turut dijatuhi hukuman denda RM2,300 selepas mengaku bersalah memasukkan dadah ke dalam badannya, 4 September tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI