PENJAGA gol PDRM FC, Bryan See Tian Keat enggan mengambil kredit penuh atas kejayaan kelab itu layak ke final Piala Cabaran musim ini.
Walaupun cemerlang pada detik penentuan penalti, Tian Keat mahu berterima kasih buat seluruh pasukan untuk merealisasikan final Piala Cabaran buat kali kedua berturut-turut.
“Saya tahu saya kena tolong pasukan dan tunggu detik penting untuk saya. Namun bagi saya semua pemain sudah berikan yang terbaik pada perlawanan ini dan saya juga tidak boleh leka.
“Saya pun hanya buat sehabis baik kerana mungkin ini peluang terakhir saya beraksi di final. Sudah pasti ini menjadi detik terbaik buat saya,” katanya.
The Cops yang hadir selaku juara bertahan menempah tiket ke pentas final apabila menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 pada separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman, kelmarin.
Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 4-4 secara agregat hingga pemenang terpaksa ditentukan pada penentuan penalti.
“Syukur untuk segalanya kerana perlawanan ini agak sukar untuk kami namun kami tidak pernah mengalah. Terima kasih kepada semua pemain, jurulatih dan seluruh pihak pengurusan pasukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE