fbpx

[VIDEO] Pelajar cemerlang perakaunan maut nahas enam kenderaan di Bukit Langat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta Perodua Alza dan sebuah motosikal yang terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Hulu Langat-Ampang, semalam.

KAJANG – Seorang pelajar perakaunan maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Hulu Langat-Ampang, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang, mangsa, Aysar Zahran Saiful Alimin disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala enam lagi penunggang termasuk pembonceng motosikal cedera.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku membabitkan empat motosikal serta sebuah kereta dalam perjalanan dari arah Hulu Langat menghala ke Ampang.

“Tiba di lokasi kejadian, Perodua Alza yang datang dari arah Ampang masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kelima-lima kenderaan tadi.

“Akibat pelanggaran itu, seorang penunggang motosikal berusia 20 tahun tercampak lalu terjatuh ke tepi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan kenderaan terbabit dihantar untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Kimia.

“Kesemua mangsa berusia lingkungan 17 ke 38 tahun yang cedera dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan sementara pemandu kedua-dua kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.

Tambahnya, polis turut menahan pemandu Alza berusia 27 tahun dan permohonanan reman akan dibuat hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Narolhisyam Endi di 0195897115,” katanya.

Sementara itu, TYMBA Education melalui hantaran di Facebook memaklumkan, Allahyarham merupakan penerima biasiswa MyPAC-Maybank Islamic Berhad bagi program ACCA-FIA di TYMBA.

Menurutnya, Allahyarham turut meraih pencapaian menduduki tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di dunia bagi kertas Management Information 1 (MA1) dalam peperiksaan FIA pada Disember 2023.

“Komitmen dan kecemerlangannya akan sentiasa dikenang dalam hati kami. Takziah yang mendalam buat keluarga beliau serta mentornya, iaitu tutor kami, Puan Fatimah (Alumni MyPAC).

“Semoga Allah mengurniakan kesabaran dan kekuatan kepada mereka, serta menempatkan roh Aysar dalam kedamaian abadi di taman-taman syurga,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI