NEW DELHI – Satu klip video tular di media sosial India memaparkan seorang pensyarah melangsungkan perkahwinan dengan pelajarnya di dalam kelas, lapor stesen penyiaran NDTV.
Kejadian berlaku di Jabatan Psikologi Kolej Teknologi Haringhata, daerah Nadia dalam negeri Bengal Barat, baru-baru ini.
Rakaman yang dimuat naik di media sosial memaparkan pensyarah bernama Payal Banerjee itu memakai pakaian pengantin dan kalungan bunga.
Mereka melaksanakan adat perkahwinan seperti pertukaran kalungan bunga antara satu sama lain.
Menurut pihak pengurusan kolej berkenaan, pensyarah tersebut digantung tugas sementara siasatan sedang dijalankan.
“Banerjee mendakwa bahawa perkahwinan itu adalah sebahagian daripada ‘drama psikologi’ yang digunakan untuk menerangkan konsep di dalam kelasnya.
“Kami tidak boleh mengambil sebarang tindakan tegas tanpa siasatan yang sewajarnya,” kata pihak pengurusan Kolej Haringhata. – AGENSI