TANJUNG MALIM – Memanfaatkan kulit haiwan seperti lembu, kerbau, kambing, bebiri, rusa dan kuda menjanjikan prospek perniagaan yang cerah kepada seorang usahawan, Mohd. Ismail Yumar, 50.
Beroperasi selama lebih 20 tahun, kilang proses kulit yang diasaskannya pada 1998 iaitu SIL Leather Malaysia Sdn. Bhd. (SIL Leather) di Kota Malim Prima di sini, telah memproses ribuan kulit untuk dijadikan produk akhir bermutu tinggi seperti dompet, tali pinggang, sejadah, baju, kasut, sarung alatan tajam seperti parang, golok dan pisau.
Menurut Ismail, ibarat rantaian ekosistem yang saling menyokong antara satu sama lain, bekalan kulit haiwan-haiwan tersebut diperoleh daripada penternak sekitar Tanjung Malim.
“Sebenarnya lebih 80 peratus kulit haiwan seperti lembu, kerbau, kambing, bebiri, rusa dan kuda dibuang begitu sahaja selepas disembelih kerana ramai yang tidak tahu mengeksploitasi bahan itu menjadi produk akhir bermutu tinggi.
“Kebiasaannya ia akan ditanam begitu sahaja selain amat sedikit dijadikan sebagai menu masakan.
“Ini turut membantu pengusaha ternakan sebagai pendapatan sampingan mereka hasil daripada sisa haiwan yang tidak digunakan,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Mohd. Ismail menjelaskan, isu halal tidak menjadi isu kerana kulit-kulit yang diproses 100 peratus haiwan halal daripada pembekal Muslim sekitar Tanjung Malim.
Beliau juga dalam proses akhir untuk mendapat akreditasi MyHijau serta GMP (Amalan Perkilangan Baik) untuk terus menarik pelanggan berpotensi.
Sehingga kini, syarikatnya merupakan pembekal tetap sebuah syarikat terkenal menghasilkan barangan kulit di Melaka serta di lebih 1,000 penjual produk barangan kulit di seluruh negara.
Mohd. Ismail memaklumkan penawaran produk tersebut begitu meluas kerana industri perabot dan automatif turut menggunakan kulit haiwan bagi keluaran mereka.
Selain produk kulit, syarikatnya turut menghasilkan produk pengilat jenama SILwax hasil kajian dan pembangunan (R&D) selama tujuh tahun.
Bahan asas utama yang digunakan adalah lemak haiwan.
“Semasa memproses kulit haiwan, sebahagian besar daripada lemaknya terbuang begitu sahaja, jadi saya mengambil inisiatif melakukan penyelidikan bagi menghasilkan produk pengilat berasaskan bahan itu.
“Secara logiknya saya memanfaatkan hampir semua bahagian kulit haiwan untuk kegunaan konsumer selain menyumbang kepada teknologi hijau yang mempertingkatkan impak pembangunan mesra alam dan kesejahteraan sejagat,” katanya.
Berhubung strategi kesinambungan perniagaan, beliau yang memulakan perniagaan dengan modal permulaan RM420,000 itu telah mengambil masa selama tujuh tahun untuk mencapai pulangan pelaburan (ROI).
“Selain jualan secara fizikal saya turut memasarkan produk secara dalam talian menerusi Facebook, Instagram, Tiktok dan Shopee.
Sehingga kini, ia menyumbang 40 peratus daripada nilai jualan kasar semasa.
“Penggunaan mesin berteknologi tinggi membantu proses penghasilan kulit lebih cepat selain mengurangkan kos tenaga buruh secara ideal,” katanya.
Biarpun berdepan dengan situasi ekonomi mencabar, aliran kewangan syarikatnya masih positif selain mampu menjana pendapatan kasar RM50,000 sebulan dengan purata keuntungan bersih sekitar 40 peratus.
Selain itu, Mohd. Ismail juga merancang untuk meluaskan lagi saiz premisnya kira-kira 0.12 hektar kepada 0.80 hektar dengan tempat merawat air sisa industri lebih sistematik selain penggunaan mesin berteknologi tinggi bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran. -KOSMO! ONLINE