PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah enggan menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki yang terlibat dalam dunia hiburan untuk dijadikan pasangan hidup kelak.
Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, berkata, bukan sahaja menolak individu dalam industri seni, dia juga meletakkan beberapa syarat lain termasuk tidak mengambil minuman beralkohol.
“Tidak hisap rokok vape atau shisha dan semestinya tak pergi kelab malam serta minum alkohol.
“Dia juga tidak terlibat dengan bahan terlarang seperti dadah dan paling penting bukan dalam industri seni,” katanya dalam sebuah video yang dimuat naik oleh adiknya, Didi Astillah dalam TikTok baru-baru ini.
Namun, ketika Didi bertanya sama ada Bella akan menerima lelaki yang terlibat dalam bidang politik, Bella hanya tertawa tanpa menjawab persoalan tersebut.
Sementara itu, netizen dalam ruangan komen turut mengusik kriteria itu seolah-olah menggambarkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang ketika ini hangat digosipkan bersama.
Terdahulu, Bella dan Saddiq mencuri tumpuan ramai apabila mereka kerap muncul bersama dalam sehingga tular di platform media sosial termasuk menawan puncak Gunung Kinabalu di Sabah baru-baru ini.
Bella sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama aktor sensasi, Aliff Aziz, namun bercerai untuk kali kedua pada 13 Jun lalu.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 8, dan Ara Adreanna, 5 tahun. – KOSMO! ONLINE