KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberi peringatan Parlimen bukan tempat untuk wakil rakyat bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah.
Baginda bertitah, Parlimen adalah dewan yang mulia untuk para wakil rakyat membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
“Parlimen adalah dewan perhimpunan yang paling utama dalam sistem negara kita. Inilah gelanggang pertemuan suara rakyat jelata. Tempat undang-undang digubal dan medan semak dan imbang.
“Parlimen bukan tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah. Ahli-Ahli Yang Berhormat hendaklah menjadi benteng perpaduan negara dan bukannya ejen perpecahan rakyat,” titah baginda.
Baginda bertitah pada perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 hari ini.
Yang di-Pertuan Agong seterusnya menitahkan setiap Ahli Parlimen menghentikan tindakan bermain politik terhadap setiap isu dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri.
“Saya perhatikan dalam persidangan dewan tahun lepas, ahli dewan telah banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan. Tahniah kepada semua, namun begitu ada juga segelintir suka membuat tabiat lama.
“Tidak perlu saya senaraikan perangai buruk tersebut sebab saya percaya setiap ahli (Parlimen) sedar dan tahu untuk jaga tingkah laku masing-masing,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE