BANDAR PANAMA – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio mengancam akan mengambil tindakan sekiranya Panama tidak melakukan perubahan segera untuk mengurangkan pengaruh China di Terusan Panama.
Dalam kunjungan luar negara pertama beliau, Rubio melawat Terusan Panama semalam ketika kapal tangki Korea Selatan dan kapal kargo mengibarkan bendera Kepulauan Marshall melintasi laluan penting itu yang menghubungkan Lautan Atlantik serta Pasifik.
Bagaimanapun, Rubio menyampaikan mesej tegas secara peribadi apabila memberitahu pemimpin Panama bahawa Presiden Donald Trump telah memutuskan bahawa negara itu melanggar syarat perjanjian penyerahan terusan pada akhir 1999.
Beliau merujuk kepada ‘pengaruh dan kawalan’ China ke atas Terusan Panama. Terusan itu mengendalikan kira-kira 40 peratus trafik kontena AS.
Bertemu Presiden Jose Raul Mulino, Rubio berkata, ‘status quo tersebut tidak boleh diterima’ dan sekiranya tiada perubahan segera, Washington tidak akan teragak-agak mengambil langkah perlu untuk melindungi haknya di bawah perjanjian sama, kata jurucakap Jabatan Negara, Tammy Bruce.
Bruce tidak menyatakan akibat yang akan diterima jika Panama tidak menuruti permintaan AS. Bagaimanapun, Trump berulang kali enggan menolak menggunakan kekuatan tentera. Kelmarin, beliau mengenakan tarif menghukum ke atas rakan dagangan utama AS terdiri daripada Kanada, China dan Mexico.
Hampir 75 peratus kargo yang melalui Terusan Panama pada tahun fiskal 2024 datang dari AS, dengan 21 peratus dari China dan diikuti oleh Jepun serta Korea Selatan, demikian menurut statistik rasmi.
Rubio dan Trump sebelum ini berkata, China memperoleh begitu banyak kuasa melalui pembinaan infrastruktur di Terusan Panama sehingga ia boleh menutup terusan itu dalam potensi konflik dalam tindakan yang akan membawa malapetaka bagi AS.
“China yang mengendalikan Terusan Panama,” kata Trump semalam. – AFP