KLUANG – Anggota tentera, Prebet Muhammad, 22, dari sebuah kem di Kluang yang dilaporkan hilang minggu lalu sudah ditemui dan pulang ke tempatnya bertugas.
Dahalan Abdullah, 61, berkata, anaknya dijumpai kira-kira 500 meter dari kem kira-kira pukul 6 petang semalam.
Bagaimanapun, Dahalan tidak memaklumkan punca kehilangan anaknya Sejak Selasa lalu itu.
“Anak saya ditemui dalam keadaan selamat bersama motosikalnya tidak jauh dari kem tersebut, namun tidak memaklumkan sebab-sebab tidak pulang kepada pasukan.
“Berikutan penemuan itu, pencariannya anak yang hilang dianggap selesai,” katanya kepada Kosmo! di sini.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan seorang anggota tentera hilang selepas keluar untuk menggunting rambut kira-kira pukul 10 pagi, Selasa lalu.
Berikutan itu, bapanya Dahalan datang dari Kuantan, Pahang untuk membuat pencarian sendiri bermula Jumaat lalu sebelum dijumpai petang semalam.
Muhammad yang juga anak ketujuh daripada lapan adik-beradik berkhidmat sebagai anggota tentera sejak tiga tahun lalu.-KOSMO! ONLINE