PETALING JAYA – Perbicaraan hari pertama pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang didakwa mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matin bermula hari ini.
Prosiding perbicaraaan yang bermula 10 pagi itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr. Syahliza Warnoh.
Sebelum ini, pendakwaan memaklumkan, seramai 15 saksi akan hadir memberi keterangan terhadap Zaim Ikhwan dan Ismanira sepanjang perbicaraan bermula pada 3 hingga 7, 17 hingga 21 Februari dan 10 hingga 14 Mac ini.
Bagaimanapun, peguam Haresh Mahadevan yang mewakili kedua-dua tertuduh berkata, pihak pembelaan menerima senarai nama saksi mencecah 32 individu.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan perbicaraan kes tersebut tetap diteruskan pada 3 Februari iaitu hari ini.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun didakwa bersama-sama mengabaikan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1, Damansara Damai di sini, pada pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.
Sebelum ini, pihak pembelaan memfailkan notis usul bagi membatalkan pertuduhan yang dihadapi sekali gus memohon dilepas dan dibebaskan. – KOSMO! ONLINE