SHAH ALAM- Bateriku.com telah bekerjasama dengan Aco Tech bertujuan untuk mewujudkan integrasi digital pertama di Malaysia antara penyedia teknologi Pengilang Asal Produk (OEM) automotif dengan penyedia perkhidmatan bantuan kecemasan jalan raya.
Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku.com, Azarol Faizi berkata, kenderaan yang dilengkapi dengan sistem ATLAS Infotainment Head Unit (IHU) daripada ACO Tech, menawarkan penyelesaian bantuan kecemasan jalan raya seluruh negara 24 jam seperti ‘jumpstart’, tampalan dan penukaran tayar, pengisian petrol, bantuan kunci kereta, dan perkhidmatan tunda secara langsung dari IHU tersebut.
Menurutnya, integrasi sistem tersebut akan turut memanfaatkan ekosistem Bateriku.com yang luas untuk menyediakan penyelesaian yang inovatif dan berpusat pada pelanggan.
“Ciri ATLASAssist 24/7 oleh Bateriku.com akan diaktifkan segera dalam kenderaan terpilih yang
dilengkapi dengan ATLAS IHU dengan liputan dijangka meningkat secara berperingkat melalui kemas kini sistem terbabit.
“Sistem kenderaan canggih yang dihubung kepada perkhidmatan ‘on-demand’ antara
Bateriku.com dan ACO Tech secara tidak langsung menetapkan standard baharu dalam kemudahan dan keselamatan pemilik kenderaan, khususnya jenama PROTON,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman kerjasama kedua pihak di
sini baru-baru ini.
Azarol berkata, pemilik kenderaan kini boleh menikmati ketenangan fikiran dan kecekapan operasi melalui perkhidmatan Bateriku.com, sekali gus menonjolkan reputasi syarikat sebagai perintis dalam penyelesaian bantuan kecemasan.
“Ciri pintar ini, yang direka, dibangunkan, dan dilancarkan melalui kerjasama sinergi antara Bateriku.com dan ACO Tech, dijangka menjadi penanda aras industri dalam meningkatkan penerimaan
penyelesaian mobiliti pintar di Malaysia dan merupakan berita baik kepada OEM yang lain.
“Dengan ciri ini, pemilik kenderaan model yang disokong dapat memandu dengan tenang kerana
sebarang masalah atau kerosakan dapat diselesaikan dengan segera melalui sambungan ke
Bateriku.com terus daripada kereta mereka,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE