HAMPIR dua dekad dalam industri seni tanah air, nama aktor Amerul Affendi sentiasa menghadirkan magis di layar perak dan pentas teater.
Dengan keupayaan luar biasa menghidupkan watak, setiap kemunculannya bagai meninggalkan jejak emosi yang sukar dilupakan.
Kehalusan ekspresi, keberanian meneroka karakter dan dedikasi tidak berbelah bahagi menjadikan dia antara pelakon yang disifatkan berkualiti dalam industri hiburan tempatan.
Tidak sekadar bergantung pada pengalaman, Amerul terus mendahagakan ilmu demi memperkasa bakatnya.
Keputusan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana membuktikan komitmennya terhadap seni persembahan.
Langkah tersebut turut mencerminkan semangatnya untuk terus berkembang, bukan sekadar sebagai pelakon tetapi juga sebagai pencetus perubahan dalam industri.
Pemilik nama sebenar Mohd. Amerul Affendi Mohd. Mawardi itu bakal menyambung pengajian dalam jurusan Seni Persembahan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Mac ini.
Kata lelaki berusia 38 tahun itu, keputusan itu dibuat bagi merealisasikan impian menjadi pensyarah, sekali gus berkongsi ilmu dengan generasi baharu.
“Insya-Allah, tahun ini saya akan sambung belajar di UPSI, bidang seni persembahan. Saya mahu mengajar dan nak jadi pensyarah.
“Program ini memerlukan pengalaman kerja sekurang-kurangnya 10 tahun. Jadi, saya layak mengikuti kursus Pengkreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL Q),” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelakon filem Paskal itu lagi, keputusan menyambung pelajaran dibuat disebabkan kurang keyakinan untuk mengajar tanpa sijil formal, meskipun ilmu dan bimbingannya ditagih ramai pendatang baharu.
“Saya belum bersedia, tak yakin untuk mengajar kerana mengajar perlukan ilmu lain pula. Lepas dapat ijazah sarjana nanti, mungkin masa itu saya tahu cara ‘goreng’ ilmu dengan betul.
“Rasa juga kata sudah tiba masa saya berkongsi ilmu dengan golongan muda.
“Nak bersaing dengan bakat-bakat muda memang mencabar, tetapi mereka beri semangat untuk saya berusaha agar terus relevan,” jelasnya.
Biarpunn bakal mengikuti pengajian sepenuh masa, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27) itu bertegas, lakonan tetap menjadi keutamaan.
Dia bahkan mahu memastikan haiwan ternakan serta kebun miliknya di Pahang diuruskan dengan baik sebelum memulakan pengajian.
“Saya bukan bersara, lakonan tetap nombor satu, mengajar pun bidang lakonan juga. Hanya mahu kekal relevan.
“Kebun semuanya okey, saya sudah atur semua. Lagi pun, sekarang teknologi canggih, boleh pantau dari jauh guna telefon,” tegasnya.
Sebelum bergelar pelakon, Amerul merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda (Teater) dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Bersama semangat dan perancangan rapi, Amerul optimis untuk terus memberi impak dalam dunia seni sambil mengejar impian menjadi pendidik.
Berkongsi perkembangan terkini, Amerul Affendi kini sedang mempromosikan filem terbaharu dibintangi berjudul Limbungan: Tragedi Hitam 1975.
Dalam naskhah penuh emosi itu, Amerul membawa watak Malik, seorang lelaki dengan jiwa kompleks yang bergelut dengan konflik dalaman di rumah dan tempat kerja.
Selain Amerul dan Kodi Rasheed selaku teraju utama, filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Cat Farish, D’Boy Hamdan, Bohari Ibrahim, Zainal Isa, Nor Albaniah dan Azan Addin.
Selepas menjalani penggambaran pada Februari 2024, Limbungan: Tragedi Hitam 1975 bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 6 Februari.
Limbungan mengisahkan Ramli dan Malik, dua pekerja Syarikat Maju Jaya yang dihantar ke Kampung Limbungan pada tahun 1975 bagi merundingkan pengambilalihan tanah untuk pembinaan stesen hidroelektrik.
Namun, penduduk kampung enggan menyerahkan tanah warisan mereka, lebih-lebih lagi setelah kemunculan harimau jadian setiap kali berlakunya gerhana bulan berdarah.
Kehadiran Ramli dan Malik pada waktu yang salah membawa mereka ke dalam konflik penuh ketegangan, di mana mitos dan realiti bertembung dalam sebuah kisah yang mencabar kepercayaan serta keberanian setiap watak.