NOTTINGHAM – Keinginan Nottingham Forest mencari penamat terbaik musim ini semakin terserlah apabila meraih kemenangan ke-14 ketika membelasah Brighton 7-0 pada aksi di City Ground kelmarin.
Pengendali pasukan itu, Nuno Espirito Santo mengakui kemenangan besar tersebut adalah di luar jangkaannya, namun menganggap ia adalah reaksi ‘kemarahan’ dipamerkan oleh pemain ekoran kekalahan 0-5 kepada Bournemouth pada aksi minggu lalu.
Hatrik yang dihasilkan oleh Chris Wood serta masing-masing satu gol disumbangkan oleh Morgan Gibbs-White, Neco Williams dan Jota Silva serta gol sendiri pemain Brighton, Lewis Dunk menyaksikan Forest mencatat kemenangan besar pertama aksi Liga Perdana Inggeris selepas 34 tahun.
“Kami turun untuk memberikan respons kekalahan lalu dan kami bertanggungjawab untuk memberikan aksi lebih baik. Minggu lalu kami tidak begitu cemerlang, namun aksi kali ini jelas lebih daripada apa yang saya bayangkan.
“Saya sentiasa mahu memandang ke hadapaan dan berharap kami akan terus kekal seperti ini. Saya tidak boleh menilai aksi ini sebagai yang terbaik atau sebaliknya.
“Para pemain menunjukkan keinginan, membuktikan bakat yang dimiliki. Morgan sangat baik, Anthony Elanga juga begitu sensasi dengan tiga umpanan gol dan secara keseluruhan semua pemain memberikan semua yang mereka ada kali ini,” jelas Espirito Santo.
Bagi Brighton, kekalahan tersebut ada yang kedua terburuk dalam sejarah mereka selepas dimalukan oleh Middlesbrough 0-9 pada saingan liga musim 1958/59. – AGENSI