LIVERPOOL – Kehadiran pengendali baharu, David Moyes seakan memberi sinar baharu buat Everton selepas mencatat kemenangan ketiga berturut-turut ketika menewaskan Leicester City 4-0 di Goodison Park kelmarin.
Perlawanan itu juga mencatat sejarah apabila pemain tengah The Toffees, Abdoulaye Doucoure muncul penjaring gol terpantas Everton apabila membuka tirai jaringan selepas 10.18 saat perlawanan dimulakan.
Dia juga juga menjadi pemain keempat dalam sejarah Liga Perdana Inggeris yang meledak gol terpantas selain Beto menyumbang dua gol, manakala Ilman Ndiaye melengkapkan hari cemerlang Everton.
Kemenangan itu menyaksikan Everton berjaya melonjak ke kedudukan ke-15 untuk mengumpul 26 mata, sementara Leicester masih kekal di kedudukan ke-17 apabila hanya memiliki kelebihan satu mata berbanding pasukan di zon penyingkiran.
“Pujian harus diberikan kepada para pemain selepas satu lagi aksi luar biasa dipamerkan. Saya gembira melihat perkembangan positif yang dilalui pasukan ini. Kami melakukan banyak perkara baik dan cuba untuk menjadi lebih bagus,” kata Moyes.
Jaringan pembukaan Docoure itu juga berpunca daripada sepakan yang dilakukan oleh penjaga gol, Jordan Pickford yang berjaya menemui pemain tengah itu sebelum melepaskan rembatan untuk menembusi gawang Leicester.
Gol awal tersebut berjaya meningkatkan motivasi para pemain Everton apabila Beto menggandakan jaringan kira-kira lima kemudian dan menyempurnakan satu lagi gol sebelum babak pertama berakhir.
Pada penghujung perlawanan, Everton berjaya menambah derita skuad kendalian Ruud Van Nistelrooy menerusi jaringan penutup Ndiaye. – AGENSI