PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau bukan seorang diktator.
Kata Ahmad Zahid, beliau juga bukan seorang pemimpin kuku besi kerana segala perkara yang berlaku dalam UMNO boleh dibawa ke meja perbincangan.
“Kita boleh berbincang dan yang penting UMNO mesti menyusun strategi agar dominan semula. Ada beberapa kaedah saya tidak perlu dikongsikan.
“Biarlah saya bincang dengan kepimpinan parti untuk menentukan hala tuju baharu UMNO,” katanya dalam sesi podcast hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, matlamat beliau ketika ini untuk menyatupadukan ahli UMNO kerana perpecahan yang menyebabkan parti itu cuma memiliki 26 kerusi Parlimen.
Kata beliau, mereka yang telah meninggalkan UMNO namun boleh terus berbuat demikian termasuk yang ‘keluar sekejap’ boleh keluar selama-lamanya.
“Yang penting penyatuan dan perpaduan. Jika ada gunting dalam lipatan, kaduk naik junjung, saya fikir orang macam itu tidak diperlukan. Biarlah sedikit ahli UMNO, tetapi yang taat setia kepada parti.
“Jumlah yang banyak, tidak mahu jadi seperti buih di lautan, tidak mahu, biar sedikit. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Dalam keadaan macam ini, saya fikir proses membuat keputusan itu saya lakukan sebaiknya,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, beliau yakin UMNO akan dapat menawan kembali kerusi yang tewas dalam pilihan raya umum seterusnya jika perpaduan menjadi fokus utama parti berkenaan.
“Mana (ahli UMNO) yang ada harus mempunyai taat setia pada parti. Ini apabila SPRM panggil sembilan kali dah takut. Cerita yang benarlah. Pergi mahkamah macam saya dengan 87 pertuduhan jelas sengaja dibuat.
“Saya tetap kekal dalam UMNO walaupun pertuduhan itu dibuat selepas saya diugut membubarkan UMNO dan menyertai mereka.
“Tetapi harga yang saya harus bayar itu mahal kerana tidak mahu menyertai Perdana Menteri yang 22 bulan itu. Apa nak takut?,” katanya. – KOSMO! ONLINE.