PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta memastikan perubahan kepada Jalan Melayu di ibu negara selesai sebelum Ramadan tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, proses naik taraf Jalan Melayu adalah susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
“Saya sempat memantau persediaan Kepengerusian ASEAN serta meninjau juga progres naik taraf Jalan Melayu susulan lawatan turun padang Perdana Menteri.
“Saya minta DBKL untuk memastikan perubahan kepada Jalan Melayu ini selesai sebelum menjelang Ramadan,”
katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Anwar sebelum ini menggesa Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi DBKL meninjau kawasan perniagaan yang usang, uzur dan memerlukan penambahbaikan di jalan sekitar Masjid India.
Beliau dipetik berkata, deretan kedai dan gerai termasuk yang telah bertapak sekian lama di kawasan berkenaan adalah kawasan tarikan utama pelancong di ibu kota yang perlu diambil perhatian
Terdahulu, Dr. Zaliha berkata, Kuala Lumpur yang merupakan ibu kota patut menjadi contoh dalam pelbagai perkara termasuk keseimbangan dan kemampanan tamadun sesebuah bandar.
Justeru, katanya, beliau selalu menekankan kepentingan kebersihan sebagai aspek utama selaras dengan visi Bandar CHASE (Bersih, Sihat, Maju, Selamat dan Mesra Alam)
Kata beliau, sesebuah bandar tidak boleh hanya fokus kepada pembangunan fizikal seperti pencakar langit yang tinggi, tetapi perlu juga memberi penekanan kepada aspek ketamadunan rakyatnya termasuk kebersihan. – KOSMO! ONLINE