SABAK BERNAM – Kerajaan Selangor akan memanggil pengurusan taman tema popular di Seksyen 7 berkaitan insiden belon pelampung terjatuh menimpa pengunjung di kawasan bawah gelongsor air kaca, Rabu lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengurusan taman itu dalam tempoh terdekat perlu memberi keterangan dan menjawab beberapa persoalan berkaitan perkara berkenaan.
“Kita telah menegur pihak terlibat sejak November tahun lalu supaya tidak beroperasi kerana perlu mendapat kebenaran daripada MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam).
“Perkara itu dipandang serius dan kita akan memastikan semua aspek keselamatan diteliti sebelum memberi kebenaran untuk terus beroperasi,” katanya pada sambutan Thaipongal peringkat Negeri Selangor di Dewan Seri Sekinchan di sini, malam ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang wanita berusia 20an cedera selepas terkena pelampung yang terjatuh dari penyangkut permainan gelongsor air kaca di sebuah taman tema popular tersebut.
Mengulas lanjut, kata Amirudin, operasi taman tema itu telah dihentikan dan pengusahanya boleh memohon beroperasi semula selepas menjalani semakan keselamatan yang teliti.
“Mereka perlu memenuhi spesifikasi dalam permohonan seterusnya dan kita teliti dari aspek keselamatan serta sebagainya.
“Saya percaya ia boleh beroperasi semula dan paling penting melepasi beberapa syarat ditetapkan MBSA,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE