IPOH – Kerajaan negeri menyerahkan kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk melakukan siasatan berhubung kes seorang khatib di Parit buntar yang tidak membacakan teks khutbah Jumaat disediakan jabatan itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, adalah sesuatu yang tidak kena apabila khatib berkenaan membacakan khutbah Jumaat yang disediakan pihak berkuasa agama negeri lain.
“Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena kerana di bawah JAIPk, ada unit membuat karangan bagi khutbah Jumaat. Malah, memang ada arahan daripada JAIPk supaya semua masjid membacakan khutbah Jumaat yang disediakan mereka.
“Jadi, kalau ada mana-mana masjid yang membaca khutbah di luar daripada khutbah yang sediakan, mungkin ada sesuatu yang tidak kena. Saya percaya JAIPk akan menyiasat perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pemerkasaan Masyarakat Madani Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) peringkat negeri Perak 2025 di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang khatib di Parit Buntar dikatakan tidak membacakan teks khutbah Jumaat yang disediakan JAIPk sebaliknya membaca teks khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).
Tajuk teks khutbah Jumaat di semua masjid di Perak adalah ‘Keburukan Fitnah: Pengajaran Dari Peristiwa Al-Ifki’ manakala di Pulau Pinang pula bertajuk ‘Muhasabah di Bulan Sya’ban’. – KOSMO! ONLINE