WASHINGTON – Sejumlah telefon pintar dan iPad yang memiliki aplikasi TikTok ditawarkan untuk jualan pada harga melambung tinggi susulan larangan platform popular tersebut di Amerika Syarikat (AS), lapor Perbadanan Penyiaran British(BBC) semalam.
Seorang penjual di laman lelongan eBay memberitahu BBC bahawa dia mempunyai sebuah telefon bimbit Samsung Galaxy Note 9 untuk dijual.
Ia adalah model lama yang biasanya dijual pada harga sekitar AS$250 (RM1,114).
Namun, oleh kerana telefon tersebut tersedia aplikasi TikTok, penjual menawarkan harga jualan setinggi AS$50,000 (RM223,000).
“Paling rendah yang saya boleh tawarkan ialah AS$15,000 (RM67,000),” kata penjual itu.
AS menyekat muat turun TikTok bermula 19 Januari lalu, namun mereka yang memiliki aplikasi tersebut masih boleh menggunakannya ekoran penangguhan diberikan oleh Presiden Donald Trump. – AGENSI