WASHINGTON – Sekeping lukisan karya pelukis Belanda, Vincent Van Gogh yang dianggarkan bernilai AS$15 juta (RM66 juta) telah dibeli oleh seorang peminat seni dalam satu jualan garaj di negeri Minnesota pada harga bawah AS$50 (RM220), lapor akhbar The Sun kelmarin.
Lukisan berupa potret itu tidak pernah dilihat sebelum ini. Ia menunjukkan seorang nelayan menghisap paip dan dihasilkan pada 1889, tahun sama Van Gogh menghasilkan karya agungnya, The Starry Night.
Lukisan itu dibeli semasa jualan garaj di Minnesota oleh pengumpul barangan antik yang namanya tidak didedahkan pada harga di bawah AS$50, beberapa tahun lalu.
Namun, lukisan itu kini dianggarkan bernilai AS$15 juta, demikian menurut sebuah pasukan terdiri daripada 20 pakar yang telah melakukan siasatan terhadap hasil seni tersebut.
Bekas kurator Muzium Seni Metropolitan, Maxwell Anderson memberitahu akhbar The Wall Street Journal: “(Saya) terkejut dengan apa yang saya lihat.”
Katanya, garis senyuman yang tergambar pada wajah nelayan itu adalah teknik lukisan Van Gogh. – AGENSI