BRASILIA – Satu klip video tular di media sosial memaparkan beratus-ratus ekor labah-labah tergantung di udara di sebuah kawasan pedalaman di Brazil, lapor akhbar The Sun UK.
Penemuan itu berlaku di Sao Thome das Letras, negeri Minas Gerais pada 28 Disember lalu.
Rakaman yang dimuat naik menunjukkan ratusan labah-labah itu tergantung pada sarang gergasinya.
Jumlah yang banyak menyebabkan labah-labah tersebut kelihatan seperti sedang terbang atau jatuh dari langit.
Pakar labah-labah, Kayron Passos berkata, kejadian aneh itu berlaku disebabkan cuaca panas lembap yang dialami di rantau tersebut.
“Ia bagaikan sebuah pesta. Labah-labah betina mempunyai spermatheca di mana haiwan itu menyimpan air mani jantan yang berbeza untuk menyuburkan telur.
“Dengan cara ini, labah-labah betina dapat meningkatkan kebolehubahan genetik spesiesnya,” kata Passos. – AGENSI