fbpx

Ride sambil promosi Hulu Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERSATUAN Roda Amal Variasi Malaysia (RAVM) menganjurkan konvoi bersama pelbagai kelab motosikal ke Hulu Terengganu baru-baru ini.

UKHUWAH yang terjalin dalam aktiviti konvoi merupakan salah satu impak yang cukup signifikan.

Tidak mengira jenis kenderaan mahupun jenama, setiap orang boleh melakukan aktiviti konvoi sambil menjalin hubungan baik dengan ahli lain.

Hal tersebut turut menjadi inti pati dalam penganjuran Program Konvoi Mega Ride Ukhwah Terengganu 2025 yang diadakan baru-baru ini.

Persatuan Roda Amal Variasi Malaysia (RAVM) membuka tirai tahun 2025 dengan menganjurkan konvoi bersama pelbagai kelab motosikal ke Hulu Terengganu.

Menurut Presiden RAVM, Mohd. Shahrul Azman Johari, konvoi tersebut mendapat penyertaan lebih 600 buah motosikal untuk bersama-sama meneroka Hulu Terengganu.

“Konvoi bersama RAVM bukan sekadar menuju ke destinasi, malah membawa mesej tentang keselamatan jalan raya dalam melakukan aktiviti bermotor.

SEBANYAK 600 buah motosikal menyertai Program Konvoi Mega Ride Ukhwah Terengganu 2025 ke Hulu Terengganu baru-baru ini.

“Oleh itu, kita membuka penyertaan kepada kelab-kelab motosikal untuk bersama kami menikmati keindahan lokasi dituju sambil melihat bagaimana program konvoi dianjurkan dengan cara yang betul,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, pemilihan Hulu Terengganu merupakan salah satu usaha untuk mengetengahkan destinasi tersebut sebagai ‘permata tersembunyi’ pelancongan negara.

Kongsinya, pelbagai pengisian dijalankan sepanjang konvoi berlangsung, antaranya sesi tazkirah ringkas, acara santai bersama keluarga, dan lawatan ke kawasan sekitar.

Jelasnya Mohd. Shahrul, konvoi itu berjalan lancar sepanjang perjalanan, bermula dari Plaza Tol Ajil, Terengganu ke setiap destinasi persinggahan di sepanjang laluan.

Antara lokasi persinggahan adalah Pondok Ustaz Mad Kecik juga dikenali sebagai Pusat Pendidikan Islam dan Kebajikan Darul Zahraa, Hulu Terengganu serta Taman Strawberi Madrasah Darul Zahra.

PENYERAHAN cenderamata oleh wakil konvoi kepada Pondok Ustaz Mad Kecik.

Selain itu, bantuan pascabanjir untuk Pondok Ustaz Mad Kecik turut disampaikan bagi membantu meringankan beban pelajar akibat dilanda musibah.

Program Konvoi Mega Ride Ukhwah Terengganu 2025 turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ibu Pejabat Polis Hulu Terengganu, komuniti permotoran Honda Adv Terengganu, Scooterian dan VF3I Terengganu.

“Program julung kali ini telah berjaya mencipta suasana penuh harmoni dan ceria. Ini sekali gus meletakkan Hulu Terengganu sebagai lokasi tumpuan aktiviti komuniti permotoran pada awal tahun ini. Melalui aktiviti seperti ini, kami berharap dapat menyemarakkan semangat kerjasama dan persaudaraan.

“Pada masa sama, kami ingin menyampaikan mesej positif kepada masyarakat mengenai gaya hidup bermotor yang bertanggungjawab,” ujarnya.

Sementara itu, Rosol berkata, pihaknya berbangga dengan inisiatif RAVM dalam menyatukan pelbagai lapisan masyarakat melalui aktiviti bermotor yang disertai oleh golongan muda dan dewasa. 

“Program seumpama ini merupakan salah satu agenda yang boleh memberi impak positif bukan sahaja berkaitan ukhuwah, malah mendidik golongan muda berkonvoi dengan selamat.

“Kali ini juga, pemilihan lokasi program turut memperkenalkan keindahan kawasan Hulu Terengganu sebagai destinasi pelancongan negara,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI