PORT DICKSON – Polisi indeks jisim badan (BMI) baharu membabitkan pegawai serta anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Darat (TD) dengan mengambil kira julat umur serta kesesuaian aktiviti pasukan bakal dilaksanakan tidak lama lagi.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, sebagai sebuah organisasi ketenteraan, sememangnya peraturan atau syarat-syarat asas pertimbangan menjalani kursus kerjaya atau pertimbangan dinaikkan pangkat bergantung kepada BMI.
Bagaimanapun katanya, pihaknya telah mengkaji semula polisi BMI yang diguna pakai supaya relevan dan sesuai dengan keadaan semasa.
“Perlu difahami, BMI bukanlah satu konsep pengukuran fizikal yang optimum kerana belum tentu individu dalam lingkungan indeks dibenarkan mempunyai fizikal yang cukup kuat dan perkasa.
“Kita mahu seorang anggota tentera yang berbadan tegap dan maskulin. Contohnya, anggota yang bina badan, tentunya otot berat. Kalau tak tinggi, BMI anggota ini tetap akan tinggi. Begitu juga anggota sukan lasak.
“Kajian ini di peringkat akhir dan bakal dilaksanakan (tidak lama lagi). BMI ini juga akan mengambil kira julat umur tertentu bagi memastikan ia relevan dan boleh diguna pakai,” katanya sempena Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 201/2024 dan Wanita Siri 49/2024 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE